Showing posts with label sahabat. Show all posts
Showing posts with label sahabat. Show all posts

Buat kita yang meningkat remaja..untukmu sahabat

Bismillahirahmanirahim

“Saya rimaslah pakai tudung labuh-labuh, baju besar-besar ni.. Panas!”

Bagaikan terngiang-ngiang suara Khalida, teman yang dikenalinya semenjak orientasi lagi yang merangkap teman sebiliknya. Zinnirah melepaskan keluhan, rasa sebak kerana masih tidak mampu menerangkan syariat Islam sebenar kepada Khalida walaupun sudah lama mereka berkenalan.

“Zinnirah! Nak tengok tak gambar masa birthday party saya hari tu?”



Zinnirah tersentak. Suara lantang Khalida membuatkan Zinnirah berpaling ke belakang. Senyuman yang paling manis dihadiahkan, istimewa buat sahabat tercinta.

“Boleh juga”

Khalida girang, cepat sahaja tangannya menunjukkan beberapa gambar dalam handphonenya. Celoteh mulutnya bercerita itu dan ini sehingga tidak terlihat kerutan pada dahi Zinnirah, hampir-hampir sahaja kening halus milik Zinnirah bercantum.

“Khalida…” Zinnirah cuba bersuara setenang mungkin.

“Ye, best kan tengok gambar-gambar ni, sorrylah tak dapat ajak awak sama… awak kan selalu sibuk, persatuan tu lah, persatuan ni lah.. Lagipun…”

“Er, Khalida, kenapa awak tak pakai tudung?” Segera Zinnirah mematikan celoteh Khalida. Khalida terdiam, berkerut-kerut dahinya seolah-olah mencari satu jawapan yang konkrit untuk diberi.

“Ala… Kan hari tu special day saya, takpelah bukan selalu pun..”

Zinnirah beristighfar di dalam hati, jawapan yang diberi dirasakan seperti satu belati tajam yang menusuk lubuk hatinya. Hampir sahaja takungan air di kelopak mata Zinnirah jatuh ke bumi, namun Zinnirah masih cuba tersenyum.

“Kita harus mengenali siapa mad’u1 kita, jangan main hentam sahaja hendak berkata itu dan ini… Jangan main suka-suka bagi dalil-dalil Al-Quran dan Hadith kerana andai mad’u1 kita itu tidak memahami apa itu Islam sebenar, bagaimana mereka hendak menerima segala dalil-dalil tu?”

Bagaikan terngiang-ngiang suara Kak Harissah, naqibah2 halaqahnya. Zinnirah merenung kembali..sejarah hidup sahabatnya yang seorang itu… Khalida telah kehilangan ibu seawal usia 12 tahun, terpaksa pula dia melayan karenah adik-adiknya seramai 5 orang kerana dia merupakan anak yang sulung. Dia hanya mendapat kasih sayang dari pembantu rumahnya yang tidak pernah mengajarnya apa itu Islam… Mengenangkan itu, Zinnirah kembali tenang…

“Zinnirah, awak marah saya ke?”

Zinnirah tersentak. Wajah Khalida dipandang dengan penuh kasih seorang sahabat. Lantas, senyuman terukir di bibirnya

“Taklah… cantik gambar-gambar awak ni… tapi saya suka gambar awak pakai tudung, cantik..”

Khalida diam. Seolah-olah mengerti apa maksud Zinnirah. “Zinnirah, kenapa kita kena pakai tudung? Kan nikmat Allah tu harus dikongsi-kongsi, salah ke saya kongsi nikmat Allah macam rambut saya semua kat orang lain?”

Zinnirah menghela nafas.

“Khalida, kalau awak diberi pilihan untuk membeli sebiji batu permata… Dua-dua sama jenis, tapi yang satu tu diletak untuk tontonan ramai, banyak kali dibelek-belek, yang satu lagi dibungkus dengan kain, diletak dalam sebuah kotak baldu yang cantik, yang mana awak nak?”

“Mestilah yang dalam kotak tu.”

“Macam tu juga lah tanda kasih sayang Allah pada kita, kerana sayang, Allah suruh kita tutup semua yang patut agar semua tu diberi untuk yang teristimewa iaitu suami kita… kalau awak tak nak barang yang dah dibelek-belek, takkan awak sanggup nak bagi suami awak yang sisa-sisa sahaja?”

Khalida diam, merenung jauh…


* * *


Usai solat subuh, Zinnirah duduk di atas sejadah.. merenung kembali apa yang telah dilakukan..

“Zinnirah”

Terdengar suara Khalida memanggil, Zinnirah merenung muka Khalida, penuh kasih..

“Awak dah solat?” Zinnirah bertanya.

“Dah.. er, Zinnirah, saya ada hajat sebenarnya”

“Apa dia?”

“Saya… sebenarnya saya suka tengok cara awak pakai tudung.. kemas.. Boleh tak ajarkan saya?”

Zinnirah tersenyum. Subhanallah! Sungguh dakwah itu bukan semata-mata melalui ucapan. Perlakuan, sikap, kekemasan diri semua itu perlu ada dalam diri seorang da’ie3.

“Boleh..” Cepat sahaja Zinnirah melipat telekung, bersedia untuk membantu Khalida yang akan ke kelas sebentar lagi.

Zinnirah mendapatkan tudung yang tidak terlalu labuh tapi masih mampu menutup aurat yang sebenar iaitu menutup dada dari hadapan dan juga tepi, tidak lupa juga zinnirah memastikan tudung yang dipilih itu jika ditiup angin tidak menampakkan dada.

“Terima kasih Zinnirah..”

Zinnirah senyum.

“Pandai awak berdakwah, awak tak pilihkan saya tudung yang labuh sangat… Kalau tak mesti orang yang baru nak berjinak-jinak dengan tudung macam saya ni tak selesa nak pakai”

“Khalida… labuh tak labuh tudung tu bergantung pada keimanan dan keselesaan. Kalau awak rasa pakai tudung bidang 50 ni selesa, dah tutup dada… pakai lah, takpe.. Islam itu tidak menyusahkan umatnya..”

“Awak selesa ke pakai tudung bulat yang labuh tu?”

“Alhamdulillah… rasa aurat lebih terpelihara”

“Zinnirah, terima kasih ya… Saya pergi kelas dulu”


* * *


Hari minggu itu Khalida pulang ke kampung meninggalkan Zinnirah keseorangan… Zinnirah redha, sms yang menjadi penghubung antaranya dengan Khalida sudah cukup menghiburkan hati..

Zinnirah, tunggu saya balik tau esok… Saya ada kejutan untuk awak


Sms itu sedikit sebanyak membuatkan Zinnirah berdebar-debar… Hari esok seakan-akan lambat untuk tiba…


* * *


“Assalamualaikum…”

Suara Khalida di muka pintu membuatkan langkah Zinnirah laju, tombol dipulas, pintu ditarik dan kelihatanlah wajah sahabatnya yang tercinta…

“Khalida…” Air mata Zinnirah tidak mampu ditahan lagi untuk jatuh ke bumi… Deras ia mengalir lantaran terharu melihat Khalida yang cantik berjubah dan bertudung labuh..

“Zinnirah… kenapa awak menangis? Awak tak suka ye saya pakai macam ni?”

“Bukan… saya suka sangat, subhanallah… saya terharu”

“Zinnirah, terima kasih… awak banyak ajar saya, awak tak pernah marah, awak tak pernah malu berkawan dengan saya walaupun dulu saya jarang-jarang pakai tudung… Terima kasih sahabatku..”

Lantas, Khalida memeluk Zinnirah erat… Dalam hati, Zinnirah berdoa..

Semoga kau istiqamah sahabatku!...

for u all friend!~



Sahabat sejati


‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”
Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).
Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?
Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:
  • Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
  • Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
  • Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
  • Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
  • Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.
Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...